BELURAN, SABAH – Daerah kecil Paitan wajar dinaik taraf sebagai daerah penuh bagi memastikan pembangunan menyeluruh di kawasan itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Maximus Ongkili.
Memetik laporan Bernama, ahli Parlimen Kota Marudu itu juga turut berkata kawasan luar bandar seperti Paitan memerlukan jentera berkesan yang diperoleh melalui sebuah daerah penuh bagi memastikan kelancaran pembangunan di lokasi berkenaan.
“Bagi membawa pembangunan kepada rakyat memerlukan sebuah jentera seperti (daerah penuh) Beluran, Kota Marudu, Kudat, Kinabatangan dan Pensiangan iaitu antara daerah luar bandar yang masih luas perjalanan dalam membawa perubahan kepada masyarakatnya…
“Memang banyak yang telah dicapai tetapi masih banyak yang perlu dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Tagunggu yang menonjolkan budaya muzik tradisi etnik Sungai di sini kelmarin (11 Jun).
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya sebagai mengulas cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri Sugut Datuk James Ratib yang meminta kerajaan negeri mempertimbang permohonan agar Paitan dinaik taraf sebagai daerah penuh.

Paitan, yang berkeluasan 2,466 kilometer persegi, mula beroperasi sebagai daerah kecil pada 4 Jan 1999 dalam daerah Beluran, sejauh 236 kilometer dari Kota Kinabalu dan terletak di kawasan pantai timur Sabah.
Ketika ini, Sabah mempunyai 27 daerah penuh dan 11 daerah kecil.
Ongkili juga berkata Kerajaan Persekutuan komited untuk melaksanakan usaha membasmi kemiskinan di Sabah dan Sarawak apabila kerap mengadakan perbincangan mengenai keperluan ekonomi serta modenisasi di kedua-dua negeri.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan turut memberikan komitmen yang serius terhadap perkara itu serta ruang yang luas kepada pemimpin Sabah dan Sarawak untuk membangkitkan pelbagai perkara yang harus dilaksana bagi mencapai matlamat berkenaan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pula berkata Sugut, yang merupakan kawasan terpencil dalam daerah kecil Paitan, masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan perhubungan, kemudahan asas serta jalur lebar yang masih tidak menyeluruh.

“Paitan perlu dilihat untuk dinaik taraf kepada daerah penuh bagi memastikan kerancakan pembangunan yang diperlukan oleh masyarakat. Ia harus melalui proses dan juga kajian yang mengambil masa tetapi kita harap proses naik taraf daerah ini dilakukan segera,” kata Ahli Parlimen Beluran itu kepada pemberita ketika menghadiri majlis perasmian Pesta Tagunggu.
Beliau juga berkata perancangan untuk mempromosi Pesta Tagunggu sebagai produk pelancongan akan dilakukan dan berharap sambutannya dibuat secara menyeluruh bukan sahaja oleh masyarakat etnik Sungai.