KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini mengumumkan baki empat calon terakhir yang akan mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, sekali gus melengkapkan senarai penuh 55 calon yang bakal bertanding.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengumuman hari ini menandakan kesempurnaan barisan calon GRS yang terdiri daripada gabungan muka baharu, pemimpin berpengalaman serta wakil pelbagai latar belakang.
Empat calon berkenaan ialah Dr Bonaventure Boniface bagi kerusi DUN N14 Tamparuli; Rafie Robert Tawik – anak kepada penyandang dan mantan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan – yang akan bertanding di DUN N40 Bingkor; Samsiah Usman (DUN N70 Kukusan); dan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (DUN N73 Sebatik).
Hajiji berkata keempat-empat calon tersebut membawa bakat, pengalaman dan keupayaan tersendiri yang diyakini dapat memperkukuh peluang GRS memenangi pilihan raya kali ini. “Saya yakin mereka mampu memberikan kemenangan kepada GRS,” katanya.
Beliau turut menyeru semua penyokong GRS agar bersatu dan memastikan kemenangan gabungan itu bagi memberikan kerajaan pimpinan GRS mandat baharu untuk meneruskan agenda pembangunan negeri. “Kita perlu memastikan kesinambungan kerja yang telah bermula di bawah GRS,” tegasnya.
Pada Rabu, Hajiji telah mengumumkan 51 calon pertama GRS yang menampilkan gabungan pengalaman dan tenaga muda, dengan 35 peratus daripada keseluruhan calon terdiri daripada muka baharu. Dengan penambahan empat calon hari ini, senarai penuh 55 calon kini dimuktamadkan.
GRS menegaskan komitmen untuk membawa kestabilan politik serta memacu pembangunan lebih rancak di seluruh Sabah melalui pasukan calon yang dianggap seimbang dari segi generasi dan kepakaran.






