G57 dakwa laporan Malaysiakini mengenai ucapan Hajiji “mengelirukan”, minta pembetulan fakta

G57 dakwa laporan Malaysiakini mengenai ucapan Hajiji “mengelirukan”, minta pembetulan fakta

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, hari ini menegur laporan Malaysiakini berhubung kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dengan mendakwa tajuk dan intipati laporan berkenaan “tidak menggambarkan maksud sebenar ucapan beliau”.

Menurut Zulkarnain, laporan bertajuk “‘Tahun hilang’ hak 40% Sabah: Hajiji enggan cabar pendirian PM” boleh memberi gambaran yang salah kepada rakyat Sabah seolah-olah Hajiji memilih untuk tidak mempertahankan hak Sabah mengenai tuntutan hasil 40 peratus.

“Ini adalah tajuk yang mengelirukan. Dalam ucapan beliau, tidak ada satu pun kenyataan yang menunjukkan Hajiji ‘enggan mencabar’ Perdana Menteri. Sebaliknya, beliau menjelaskan dengan jelas bahawa Perdana Menteri sendiri telah menyatakan kerajaan tidak akan merayu terhadap hak 40 peratus itu,” katanya.

Semalam, Hajiji melancarkan sesi jelajah kempen GRS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan dan Tempasuk di Kota Belud.

Beliau berkata ucapan Hajiji menekankan bahawa rayuan kerajaan Persekutuan hanya berkaitan beberapa bahagian teknikal dalam keputusan mahkamah, bukan mengenai hak 40 peratus hasil untuk Sabah.

“Hajiji menyebut bahawa PM telah menghubunginya dan memberi jaminan bahawa kerajaan Persekutuan tidak merayu tentang 40 peratus.

“Beliau turut menjelaskan bahawa apa yang dirayu hanyalah ayat-ayat tertentu dalam keputusan mahkamah yang dirasakan tidak adil kepada kerajaan dahulu. Itu inti sebenar ucapan,” katanya.

Zulkarnain mendakwa pembingkaian berita (news framing) oleh Malaysiakini boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat Sabah, terutamanya yang mengikuti perkembangan rundingan semakan hasil antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

“Apabila tajuk diberi gambaran konfrontasi — kononnya Hajiji enggan mencabar PM — ia boleh memberi implikasi buruk kepada imej beliau, sedangkan ucapan penuh Hajiji langsung tidak membawa nada sedemikian. Ini tidak adil kepada beliau dan juga kepada rakyat Sabah yang mahu maklumat tepat,” jelasnya.

Beliau turut menyeru agar portal berita itu lebih berhati-hati dalam menafsir dan melapor isu sensitif berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bagi mengelakkan kekeliruan atau sentimen tidak tepat.

“G57 menegaskan pentingnya laporan yang telus dan tepat, terutama dalam isu yang melibatkan hak Sabah. Rakyat berhak tahu fakta yang benar, tanpa pengolahan yang boleh menimbulkan persepsi salah.

“Saya tidak akan teragak-agak melaporkan perkara ini ke Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PRDM) sekiranya tiada tindakan segera untuk membetulkan artikel ini,” tegasnya.

Ucapan Hajiji pada program berkenaan menegaskan bahawa rundingan Sabah–Persekutuan berkaitan tuntutan hasil sedang berjalan dan beliau yakin proses itu akan meningkatkan pendapatan negeri.