Lelaki Warga Asing Ceroboh Rumah, Diberkas Bersama Sebilah Pisau di Sungai Buaya,...

Lelaki Warga Asing Ceroboh Rumah, Diberkas Bersama Sebilah Pisau di Sungai Buaya, Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang disyaki menceroboh sebuah rumah di Taman Berjaya, di sini bulan lalu, ditahan polis dalam serbuan di Kampung Sungai Buaya, Batu 3 pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan pada jam 2.50 petang susulan risikan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Beliau berkata, kejadian pencerobohan itu dilapor berlaku pada 3 November lalu, kira-kira jam 1.35 pagi apabila penggera keselamatan rumah mangsa berbunyi sebelum rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan kelibat seorang lelaki memasuki kediaman berkenaan melalui pagar belakang.

“Suspek kemudian menuju ke bahagian hadapan rumah, namun segera melarikan diri selepas ditegur pemilik menerusi sistem suara CCTV,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, ketika pemeriksaan semasa tangkapan, polis menemui sebilah pisau sepanjang kira-kira 22 sentimeter yang disembunyikan pada badan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1957 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.