Kerjasama UMS, RISM, Perkukuh Pembangunan Penyelidikan Dalam Bidang Ukur, Kejuruteraan dan Alam...

Kerjasama UMS, RISM, Perkukuh Pembangunan Penyelidikan Dalam Bidang Ukur, Kejuruteraan dan Alam Bina

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh kerjasama strategik bersama Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) bagi meningkatkan pembangunan akademik, penyelidikan dan latihan profesional dalam bidang ukur, kejuruteraan serta alam bina, menerusi pemeteraian Surat Niat (LoI) baru-baru ini.

LoI tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor dan Presiden RISM, Sr Wan Ainon Zuraiha Wan Abd Khalid sempena 9th Sabah International Surveyors Congress (9SISC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), penganjuran RISM Cawangan Sabah.

Kasim dalam ucapannya berkata, kerjasama ini merupakan satu usaha penting yang mengukuhkan jalinan antara dunia akademik dan profesionalisme, sekaligus memastikan graduan tempatan lebih kompeten, relevan dan memenuhi keperluan industri semasa.

“Kerjasama ini mencerminkan aspirasi bersama untuk menyokong perkembangan Sabah dan negara melalui pendidikan, inovasi dan penglibatan industri,” katanya sambil menyatakan bahawa kerjasama itu turut merangkumi seminar bersama, bengkel, pembangunan kurikulum berasaskan industri dan latihan industri untuk pelajar UMS.

Beliau turut memaklumkan LoI itu menggalakkan penyelidikan dan penerbitan bersama melibatkan bidang seperti pengurusan pembinaan, reka bentuk lestari dan Building Information Modelling (BIM), selain inisiatif pembangunan kapasiti serta program libat sama komuniti demi kelestarian masyarakat dan alam sekitar.

Kasim menambah, UMS juga akan memperkenalkan dua program ijazah baharu di bawah kluster Alam Bina — Sarjana Muda Sains Senibina dengan Kepujian pada Mac 2026, dan Sarjana Muda Ukur Bahan dengan Kepujian pada September 2026 — sebagai sokongan kepada keperluan tenaga profesional di Sabah.

Sementara itu, Pengerusi RISM Cawangan Sabah, Sr Ts. Allen Leslie Chin menegaskan komitmen RISM untuk menyokong UMS dalam memperkasakan pembangunan profesional pelajar serta berharap kerjasama ini dapat berterusan demi manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang.

Turut hadir dalam majlis tersebut termasuk Ahli Lembaga Pengarah UMS Datuk Aliasgar Basri, Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr Lifred Wong, serta barisan kepimpinan akademik dan profesional industri yang terlibat dalam penganjuran kongres.