ADUN Nabawan Tuntut Penjelasan Projek RMK13

ADUN Nabawan Tuntut Penjelasan Projek RMK13

0
SHARE

KOTA KINABALU: ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin – Gagasan Rakyat, meminta Kerajaan Negeri menjelaskan status senarai projek RMK13 bagi daerah Nabawan yang dikemukakan awal 2025 untuk pelaksanaan bermula 2026.

Beliau mempersoalkan kelewatan beberapa projek bernilai lebih RM500,000, termasuk pembinaan jambatan pekan Nabawan dan bangunan Mahkamah Anak Negeri, serta menuntut penjelasan telus berkaitan isu pelaksanaan di peringkat agensi.

Abdul Ghani mencadangkan penambahbaikan pengurusan projek, pengurangan birokrasi, dan kenaikan had nilai sebut harga kerja kecil selaras kos semasa.

Beliau turut menegaskan kawasan luar bandar wajar diberi keutamaan peruntukan, memandangkan Nabawan masih berdepan kekurangan infrastruktur asas, kemudahan awam, bekalan elektrik dan air bersih.

Beliau menggesa tindakan segera agensi berkaitan bagi isu jalan rosak, jambatan, bekalan air dan elektrik, selain mencadangkan penyediaan bekalan alternatif BELB dan BALBA ke kawasan pedalaman.

Dalam pengurusan tanah, beliau meminta penjelasan status Skim Nabawan dan permohonan pewartaan Mukim Tatalaan.

Abdul Ghani menyampaikan perkara itu ketika membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2026 di DUN Sabah.