KOTA KINABALU: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berharap sambutan Hari Natal 2025 dapat membawa sinar kegembiraan, kedamaian dan kasih sayang kepada rakyat Malaysia yang meraikannya di seluruh negara.
Dalam kenyataan media sempena perayaan itu, beliau berkata Hari Natal bukan sekadar sambutan keagamaan, malah menjadi peringatan penting tentang nilai kemanusiaan seperti kasih, harapan dan perpaduan yang menjadi asas kepada pembinaan Malaysia Madani.
“Nilai-nilai ini menekankan keharmonian, saling menghormati dan kebersamaan tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang. Dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa, semangat inilah yang akan terus mengukuhkan ikatan kita sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya.
Arthur turut menegaskan bahawa semangat perpaduan dan kebersamaan perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan negara kekal bersatu, sejahtera dan berdaya tahan.
Beliau berharap perayaan Hari Natal tahun ini dapat mempereratkan hubungan dalam kalangan masyarakat serta menjadi pemangkin kepada usaha berterusan membina sebuah negara yang lebih harmoni.
Arthur menyampaikan ucapan Selamat Hari Natal dan Tahun Baharu kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyambut perayaan itu di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.






