Lelaki Warga Asing Rogol Anak Saudara Hingga Hamil, Ditahan Kurang 24 Jam

Lelaki Warga Asing Rogol Anak Saudara Hingga Hamil, Ditahan Kurang 24 Jam

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki merogol anak saudaranya sendiri sehingga mangsa berusia 19 tahun disahkan hamil, dalam kejadian di Taman Semarak, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, suspek diberkas kurang 24 jam selepas laporan polis dibuat pada Jumaat lalu.

Menurutnya, laporan dibuat oleh seorang wanita tempatan berusia 52 tahun selepas dimaklumkan oleh mangsa, yang juga anak saudaranya, mengenai kejadian berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam di sebuah rumah di Taman Semarak ketika mangsa berada di rumah wanita terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mangsa mendakwa dirogol oleh lelaki yang juga adik kepada suami wanita berkenaan sebelum dibawa ke klinik oleh ibu saudaranya untuk pemeriksaan kesihatan.

Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menahan suspek berusia lingkungan 40-an di sebuah bilik sewa sekitar Bandar Sabindo kira-kira jam 3.50 petang, semalam.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana kesalahan rogol sumbang mahram serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan imigresen.

ACP Jasmin menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang jenayah seksual, khususnya yang melibatkan ahli keluarga sendiri, dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang.