KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, meminta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) memainkan peranan lebih aktif membantu kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyampaikan pencapaian dan dasar kerajaan kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, banyak kejayaan yang dilakar kerajaan GRS tidak dihebahkan secara menyeluruh, menyebabkan usaha sebenar kerajaan kurang diketahui rakyat, sementara isu seperti bekalan air, elektrik dan jalan rosak lebih menonjol di media sosial.
“PPM boleh dianggap sebagai mata dan telinga kerajaan. Tugas utama ialah membantu menjelaskan dasar, program serta kejayaan kerajaan kepada rakyat. Banyak pencapaian yang telah kita laksanakan untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Menurut Hajiji, melalui hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kerajaan negeri berjaya memulihkan ekonomi pasca COVID-19, meningkatkan hasil negeri daripada sekitar RM4 bilion kepada RM7 bilion, selain rizab negeri yang kini melebihi RM8.6 bilion.
Beliau turut menekankan kejayaan menarik pelaburan, termasuk pembangunan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang kini penuh dengan pelabur, serta pelaburan baharu dari Singapura bernilai RM31 bilion yang dijangka mewujudkan antara 6,000 hingga 7,000 peluang pekerjaan.
Hajiji berkata, pencapaian itu membuktikan kerajaan GRS berfungsi dengan berkesan, sambil menegaskan bahawa isu infrastruktur di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan akan terus dibangkitkan demi kepentingan rakyat Sabah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Menandatangani Aku Janji Jawatan PPM Negeri Sabah di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Hajiji memaklumkan kerajaan negeri akan memperkukuh pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 2.0 yang dijadual dilancarkan hujung bulan ini bagi memantapkan agenda ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
Mengucapkan tahniah kepada 45 PPM yang mengangkat sumpah jawatan, beliau berharap mereka menjalankan amanah dengan penuh integriti dan komitmen sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi demi masa depan Sabah dan generasi akan datang.






