Penunggang Motosikal Patah Tulang Betis, Dirempuh Kereta Dipandu Remaja Tanpa Lesen

Penunggang Motosikal Patah Tulang Betis, Dirempuh Kereta Dipandu Remaja Tanpa Lesen

0
SHARE

TAWAU: Seorang penunggang motosikal lelaki berusia 57 tahun mengalami kecederaan parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang remaja perempuan tanpa lesen memandu di persimpangan lampu isyarat Telekom, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.40 malam membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati penunggang motosikal datang dari arah Flat Hijau menuju ke Taman Ambar Park, manakala pemandu kereta berusia 20 tahun bergerak dari arah Bataras dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Hill Top.

“Apabila tiba di persimpangan lampu isyarat Telekom, lampu trafik didapati berwarna hijau dan penunggang motosikal meneruskan perjalanan melalui Jalan Mawar.

“Bagaimanapun, sebuah kereta dari arah bertentangan dipercayai dipandu laju sebelum melanggar bahagian sisi hadapan kanan motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang betis kaki kanan dan dikejarkan ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Hasil siasatan lanjut mendapati pemandu kereta terbabit tidak memiliki lesen memandu yang sah pada waktu kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Dalam pada itu, ACP Jasmin menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu secara berhemah, khususnya ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat.

“Pengguna jalan raya disaran memperlahankan kenderaan, mematuhi isyarat lampu trafik serta memastikan keadaan selamat sebelum meneruskan perjalanan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.