Proses dan Edar Ketum, Lelaki Tempatan Berdepan Hukuman Penjara, Denda RM100,000

Proses dan Edar Ketum, Lelaki Tempatan Berdepan Hukuman Penjara, Denda RM100,000

0
SHARE

RANAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar minuman ketum dalam satu serbuan di sebuah kampung di daerah ini, baru-baru ini.

Tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.

Hasil pemeriksaan di kediaman suspek membawa kepada penemuan beberapa botol berisi air ketum serta peralatan dipercayai digunakan untuk memproses minuman berkenaan.

Antara barang rampasan ialah empat botol plastik berisi air ketum bersaiz 1.5 liter, satu botol berisi air ketum 0.5 liter, selain tong gas, dapur memasak dan bekas polisterin putih.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda sehingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Polis menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam pengedaran atau penggunaan ketum kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

PDRM turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan bahan terlarang bagi membantu mengekang kegiatan berkenaan di daerah ini.