KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+) sebagai bukti kesiapsiagaan Sabah untuk berdagang secara bertanggungjawab, melindungi hutan demi generasi akan datang serta kekal sebagai peneraju yang dipercayai dalam ekonomi hijau global.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah TLAS+ merupakan sistem pertama seumpamanya di dunia yang menyelaraskan secara menyeluruh aspek perundangan, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.
“Ini meletakkan Sabah di barisan hadapan jangkaan peraturan dan pasaran global,” katanya ketika merasmikan pelancaran Buku Sabah TLAS+ di Hotel Hilton, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Hajiji berkata, Buku Sabah TLAS+ dihasilkan sebagai tindak balas terhadap perkembangan pasaran global, termasuk pelaksanaan EUDR yang dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2026, yang menuntut produk kayu bukan sahaja sah dari segi undang-undang, malah bebas penebangan hutan, boleh dijejaki dan melalui penilaian risiko yang ketat.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perhutanan Sabah telah mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama Fasiliti Kerjasama Kesatuan Eropah–Malaysia pada tahun 2024 bagi menaik taraf sistem sedia ada kepada Sabah TLAS+.
“Peningkatan ini memastikan rangka kerja tadbir urus kita kekal sejajar dengan piawaian antarabangsa, di samping memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan integriti di sepanjang keseluruhan rantaian bekalan,” katanya.
Beliau berkata, Sabah TLAS+ turut mengintegrasikan elemen tadbir urus termaju termasuk kebolehjejakan digital, geolokasi serta perlindungan sosial dan alam sekitar yang diperkukuh, bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan bebas penebangan dan degradasi hutan.
Selain itu, katanya, sistem berkenaan merangkumi prinsip sukarela yang sejajar dengan Arahan Ketekunan Wajar Kelestarian Korporat Kesatuan Eropah (EU CS3D), sekali gus memperkasa syarikat untuk mengukuhkan pengurusan risiko hak asasi manusia dan alam sekitar selaras dengan jangkaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) global.
“Secara praktikal, pengeluar kayu Sabah kini bukan sekadar memenuhi piawaian undang-undang minimum, malah dilengkapi keupayaan untuk membuktikan pematuhan yang telus dan bersedia ESG bagi pasaran dunia yang paling menuntut.
“Sabah kini terbuka untuk perniagaan lestari. Kayu-kayan kami adalah sah, boleh dijejaki, dihasilkan secara bertanggungjawab dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Kesatuan Eropah atas sokongan teknikal dan kewangan yang diberikan, di samping memuji Jabatan Perhutanan Sabah, pemain industri serta semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam merealisasikan pelaksanaan Sabah TLAS+.
“Kami menantikan peluasan kerjasama ke bidang baharu, termasuk pendidikan dan pemuliharaan, demi memastikan pengurusan hutan Sabah terus mampan dan berdaya tahan,” katanya.






