Isteri Pemimpin Tertinggi Iran Meninggal Dunia Selepas Cedera Dalam Serangan AS-Israel

Isteri Pemimpin Tertinggi Iran Meninggal Dunia Selepas Cedera Dalam Serangan AS-Israel

0
SHARE

TEHRAN: Isteri kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dalam serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada Sabtu lalu.

Memetik laporan portal berita The Hill yang merujuk kepada televisyen negara Iran, Press TV, Mansoureh Khojasteh, 78, sebelum ini dilaporkan cedera dalam serangan berkenaan dan berada dalam keadaan koma sejak Sabtu sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan tersebut.

Pada Sabtu, serangan dilancarkan oleh AS dan Israel ke atas Iran susulan ketegangan yang memuncak antara kedua-dua negara dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Dalam serangan tersebut, Ali Khamenei dilaporkan terbunuh, dengan Presiden AS, Donald Trump mengumumkan kematian pemimpin itu pada hari sama menerusi platform Truth Social.

Susulan serangan itu, Iran dilaporkan melancarkan serangan balas ke atas Israel serta beberapa negara Teluk termasuk Arab Saudi.

Dalam perkembangan berkaitan, Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan jumlah anggota tentera AS yang terkorban dalam operasi ketenteraan terhadap Iran meningkat kepada empat orang.

Menurut kenyataan di platform X, seorang anggota yang sebelum ini cedera parah dalam serangan awal Iran akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan tersebut.

“Operasi tempur utama masih diteruskan dan usaha tindak balas kami sedang berjalan,” menurut kenyataan itu.