29 PATI dari Filipina Ditahan Imigresen Dalam Operasi di Ranau

29 PATI dari Filipina Ditahan Imigresen Dalam Operasi di Ranau

0
SHARE

RANAU: Seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di beberapa lokasi sekitar daerah Ranau, baru-baru ini.

Dalam operasi yang dilaksanakan di tiga lokasi berbeza itu, pihak penguat kuasa telah menjalankan pemeriksaan terhadap 41 individu sebelum menahan 29 daripadanya kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Operasi tersebut melibatkan seramai 18 pegawai daripada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Ranau.

Daripada jumlah yang ditahan, ia terdiri daripada 11 lelaki dewasa, lapan perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan yang kesemuanya dikenal pasti sebagai warganegara Filipina.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, kesemua individu terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah, serta Seksyen 36 akta yang sama.

“Jabatan Imigresen Malaysia Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini,” menurut kenyataan itu.

JIM Sabah turut menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin.

Sehubungan itu, orang ramai turut diseru agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa dokumen sah di kawasan mereka bagi membantu usaha penguatkuasaan.