KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM164.01 juta bagi program pembangunan modal insan di Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan modal insan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa anak-anak watan Sabah ke arah mencapai kemajuan dan kecemerlangan.
“Pembangunan modal insan tetap diutamakan menjadi sebahagian daripada program pembangunan anak-anak watan negeri ini ke arah mencapai kemajuan dan kecemerlangan.
“Bidang kemahiran dan pembangunan belia akan diperkasa melalui peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib pada majlis perasmian Program Latihan Guru-Guru untuk Pertandingan Robotik SMJ di SJKC Lok Yuk, di sini hari ini.
Menurut Hajiji, antara bidang yang diberikan keutamaan dalam pembangunan modal insan ialah pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pengukuhan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan pertanian serta teknologi digital dengan penekanan terhadap literasi kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha yang membuka peluang pendidikan berkualiti secara lebih meluas dan inklusif, khususnya yang mengangkat STEM dan inovasi sebagai budaya pembelajaran di sekolah.
“Kita mahu memastikan program seperti ini berjalan dengan teratur melalui kerjasama rapat antara pihak pendidikan, sekolah, komuniti dan rakan strategik supaya para guru mendapat sokongan sewajarnya dan murid dapat menikmati pengalaman pembelajaran yang bermakna,” katanya.
Dalam konteks itu, beliau berkata latihan kepada guru-guru adalah signifikan kerana murid akan lebih bersedia memahami teknologi, membina keyakinan serta menghasilkan inovasi apabila guru mereka diperkasa dengan kemahiran dan peralatan yang sesuai.
Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar memperkenalkan robotik sebagai aktiviti tambahan, tetapi dilaksanakan secara lebih tersusun melalui model pelaksanaan di sekolah.
“Ini termasuk penyediaan infrastruktur minimum, penggunaan kit robotik, platform pembelajaran serta latihan guru secara Train-the-Trainer bagi memastikan pelaksanaan benar-benar berkesan,” katanya.
Hajiji turut menjelaskan bahawa penggunaan kit robotik LEANBOT sebagai alat pembelajaran utama turut menyokong integrasi latihan secara fizikal dan simulasi melalui Digital Twin, selain penggunaan aksesori latihan seperti Field Track atau Field Model untuk aktiviti ujian dan cabaran robotik di dalam kelas.
“Ia membantu murid belajar melalui pengalaman membina, menguji dan menambah baik projek mereka, sekali gus memahami konsep secara lebih mendalam berbanding sekadar menghafal teori,” katanya.






