PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju mengawalkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 serta menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 bagi membantu rakyat membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bayaran STR Fasa 2 akan mula dikreditkan ke akaun penerima bermula 10 Mac ini.
Menurut beliau, inisiatif itu melibatkan peruntukan kira-kira RM1.3 bilion yang akan memberi manfaat kepada lima juta penerima di seluruh negara.
“Kita awalkan bayarannya. Sepatutnya STR Fasa 2 dibayar pada April, tetapi kita awalkan kerana mahu rakyat menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan lebih selesa. Jadi mulai 10 Mac ini, saudara-saudari akan menerima bayaran STR Fasa 2 dalam akaun masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di sini, hari ini.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan penyaluran Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak, yang akan dibayar pada 13 Mac.
Pada masa sama, pesara kerajaan serta veteran berpencen dan tidak berpencen akan menerima bantuan sebanyak RM250 pada tarikh yang sama.
“Bayaran BKK 2026 ini telah saya umumkan dalam Belanjawan untuk penjawat awam. Sebanyak RM500 akan disalurkan pada 13 Mac bagi Gred 56 ke bawah, manakala pesara kerajaan dan veteran berpencen serta tidak berpencen akan menerima RM250,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut mengumumkan peluasan program subsidi tiket penerbangan bernilai RM400 kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Program tersebut kini diperluas merangkumi institusi milik kerajaan negeri serta institusi latihan, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 pelajar tahun ini berbanding 44,000 pelajar sebelum ini.
Anwar menegaskan langkah berkenaan merupakan usaha berterusan Kerajaan MADANI bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.






