JOHOR BAHRU – Pegawai khas kepada Dato’ Sri Najib mengesahkan telah bertengkar dengan seorang wartawan wanita selepas memaksa wartawan tersebut memadamkan foto Najib sedang menjamu selera bersama calon Barisan Nasional (BN) dan melanggar SOP.
Insiden tersebut dikatakan berlaku pada TIGA (3) hari yang lalu ketika Najib mengiringi calon Tangkak dari BN/MCA Ong Chee Siang yang berkempen di Pusat Penjaja Tangkak Jaya.

Memetik portal Malaysiakini, seorang saksi yang berada ditempat kejadian berkata, ketika Najib dan Ong sedang menjamu selera, sepasukan anggota pegawai dari jabatan kesihatan telah cuba mendekati rombongan Najib.
“Pegawai khas kepada Najib Ahmad Lutfi Azhar menghampiri pegawai itu dan wartawan itu mula mengambil gambar…
“Apabila (Lutfi) menyedari seseorang sedang mengambil gambar, dia menghampiri seorang wanita (wartawan),” katanya.

Wanita itu kemudiannya enggan berbuat demikian dan sebaliknya bertanyakan identiti individu tersebut dan dijawab bahawa dia adalah pegawai Najib dan berulang kali berkata ‘Najib adalah bos saya’ dan memintanya memadamkan gambar yang diambil itu.
“Terjadi pertikaman lidah antara mereka dan lelaki itu mencarut terhadap wanita berkenaan. Malah, dia mendekatkan dirinya ke arah wanita itu dengan lagak yang sangat bongkak”.
“Wartawan itu meminta lelaki tersebut supaya menjarakkan diri. Tetapi lelaki itu berulang kali membalas dengan carutan.(Pertengkaran) berakhir dengan kedua-duanya membuat panggilan telefon,” tambah saksi kejadian itu.
Saksi turut berkata dia berada di lokasi untuk mengambil gambar tetapi berhenti berbuat demikian kerana ketakutan selepas melihat keberangan lelaki berbaju hijau itu.
Katanya, dia kemudian mendekati pegawai jabatan kesihatan di kawasan tersebut dan mendapati mereka cuba mengeluarkan denda kepada Najib atas kesalahan yang dilakukan pada 26 Feb.
“Lelaki itu tidak patut membuat kecoh dengan menghalang wartawan itu dan memakinya…
“Jika Najib melanggar protokol Covid-19, mengapa melindunginya? Ini sudah melampau kerana menggunakan perkataan sedemikian (mencarut) kepada media.”

Dalam pada itu, sebilangan wartawan yang enggan nama mereka didedahkan berkata apa yang dilakukan oleh pegawai khas Najib terhadap wartawan wanita tersebut sangat biadap dan kurang ajar.
Beliau (Ahmad Lutfi Azhar) sepatutnya menghormati hak wartawan dan sepatutnya merasa hormat terhadap kaum wanita.
Dalam pada itu seorang ahli UMNO yang ditemui untuk mengulas insiden tersebut pula berkata Najib sebenarnya dikelilingi oleh orang-orang yang sombong termasuk pegawai pegawai beliau.
“Oleh sebab itu saya tidak hairan kalau ada pegawai Najib yang berlaku biadap, mereka mungkin merasakan populariti Najib terlalu hebat tetapi mereka lupa rakyat sedang memerhatikan tindak tanduk mereka”.
“Apa yang kita lihat melalui facebook dan media kononnya Najib mesra kepada rakyat sebenarnya rekaan sahaja…
“Saya sendiri boleh mengesahkan selaku pemimpin UMNO sejak tahun 2018 telah berulang kali ingin bertemu dengan Najib dengan alasan menyatakan sokongan kepada beliau tetapi tidak dilayan oleh Najib”.
Susulan insiden itu, Ahmad Lutfi turut menawarkan gajinya ditolak bulan ini akibat insiden layanan kasar terhadap wartawan wanita terbabit.