Wanita, Anak Didakwa Dagang Pasangan Suami Isteri Dari Indonesia Untuk Jadi Pembantu...

Wanita, Anak Didakwa Dagang Pasangan Suami Isteri Dari Indonesia Untuk Jadi Pembantu Rumah

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga tempatan bersama anak lelakinya didakwa di Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang (ATIP) Klang pada Isnin atas pertuduhan memperdagangkan pasangan suami isteri warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi kerja paksa sebagai pembantu rumah.

Memetik Kosmo, kedua-dua tertuduh berusia 73 dan 52 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tertuduh disyaki memperdagangkan dua warga Indonesia yang merupakan pasangan suami isteri untuk bekerja sebagai pembantu rumah di bawah seliaan mereka.

Beliau berkata, siasatan mendapati pasangan tersebut dipercayai tidak dibayar gaji sepanjang tempoh 15 tahun bekerja di bawah jagaan kedua-dua tertuduh.

“Tindakan ini dipercayai mempunyai unsur eksploitasi kerja paksa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan mahkamah dan mereka diwakili peguam bela sepanjang prosiding berlangsung.

Menurut Zakaria, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh, namun mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 bagi setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 13 April 2026 sebagai tarikh pengurusan kes bagi tujuan sebutan lanjut.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun selain boleh dikenakan denda.

Dalam pada itu, Zakaria menegaskan komitmen Jabatan Imigresen Malaysia untuk terus membanteras sebarang bentuk pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negara ini.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670),” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa melalui talian 03-8880 1471 atau e-mel urusetia_p@imi.gov.my.