KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak akan mengikut arahan kerajaan Persekutuan untuk membatalkan penganjuran majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri tahun ini, namun sambutan itu akan diadakan secara lebih sederhana.
Memetik laporan The Borneo Post, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya terpakai kepada kementerian, jabatan serta agensi di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, arahan tersebut tidak semestinya terpakai kepada kerajaan negeri.
“Arahan PMX ditujukan kepada kementerian, jabatan dan agensi Persekutuan. Secara peribadi, saya tidak melihat ia terpakai kepada Sarawak,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Abdul Karim berkata, walaupun Sarawak akan meneruskan sambutan Hari Raya Aidilfitri, kerajaan negeri akan memastikan penganjuran majlis berkenaan dilaksanakan dalam skala yang lebih sederhana.
“Sarawak tidak akan mengikut arahan Persekutuan. Kita masih akan menyambut Hari Raya tetapi pada skala yang lebih sederhana,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata majlis rumah terbuka Aidilfitri merupakan acara penting bagi umat Islam meraikan berakhirnya bulan Ramadan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sambutan tersebut perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa perbelanjaan berlebihan.
“Sudah tentu ketika menyambut Hari Raya pada 1 Syawal, kita perlu sentiasa ingat agar tidak berbelanja secara berlebihan,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata musim perayaan juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengetepikan perbezaan dan mengeratkan hubungan silaturahim.
“Kita tidak boleh mengetepikan terus sambutan Hari Raya kerana situasi global semasa. Hari Raya adalah masa untuk semua rakyat Malaysia mengetepikan perselisihan dan bersatu serta mengeratkan silaturahim,” katanya.
Sementara itu, kerajaan Persekutuan pada Rabu memutuskan semua kementerian, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah menggalakkan perbelanjaan lebih berhemat susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini bagi memberi isyarat mengenai keperluan disiplin fiskal yang lebih ketat dalam sektor awam.
Beliau berkata langkah tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga walaupun bekalan barangan keperluan seperti minyak dan gas di Malaysia masih stabil ketika ini.






