F1 Batal GP Bahrain dan Arab Saudi April Susulan Konflik Iran

F1 Batal GP Bahrain dan Arab Saudi April Susulan Konflik Iran

0
SHARE

Formula One (F1) dan badan induknya, FIA, mengumumkan bahawa perlumbaan Grand Prix di Bahrain dan Arab Saudi tidak akan berlangsung pada April susulan kebimbangan keselamatan berkaitan konflik melibatkan Iran.

Kedua-dua negara berkenaan dilaporkan terjejas oleh serangan balas Iran selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan siri serangan terhadap negara itu.

Perlumbaan di Bahrain dijadualkan pada 12 April manakala GP Arab Saudi di Jeddah pada 19 April. Pengumuman dibuat di Shanghai menjelang Grand Prix China.

Memetik sumber AFP, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali berkata keputusan itu sukar tetapi perlu demi keselamatan semua pihak.

Walaupun keputusan ini sukar, ia adalah langkah yang tepat pada masa ini memandangkan situasi semasa di Timur Tengah,” katanya.

Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem pula menegaskan keselamatan komuniti F1 menjadi keutamaan.

“FIA akan sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan komuniti kami,” katanya.

FIA dan F1 tidak menolak kemungkinan perlumbaan itu dijadualkan semula, namun tiada tarikh baharu diumumkan setakat ini.

Pembatalan dua perlumbaan tersebut mewujudkan jurang lima minggu dalam kalendar F1 antara Grand Prix Jepun pada 29 Mac dan Grand Prix Miami pada 3 Mei.