KOTA KINABALU: Inisiatif FlySiswa oleh Kerajaan Persekutuan bersama bantuan tambahan yang disediakan Kerajaan Negeri Sabah mampu meringankan beban pelajar institusi pengajian tinggi untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan FlySiswa sebanyak RM400 bagi penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak memberi manfaat besar kepada pelajar, khususnya anak Sabah yang menuntut di luar negeri.
“Pada masa yang sama, inisiatif FlySiswa yang menyediakan bantuan RM400 kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam untuk penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak juga memberi manfaat besar kepada golongan mahasiswa.
“Kerajaan Negeri turut melengkapkan usaha ini melalui bantuan tambahan RM600 kepada pelajar anak Sabah yang menuntut di Semenanjung dan Sarawak, serta RM300 kepada pelajar yang menuntut di dalam negeri bagi membantu mereka pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri bersama keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.
Hajiji turut menyambut baik pendekatan strategik Kerajaan Persekutuan dalam membantu rakyat termasuk penyaluran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menjelang Aidilfitri bagi meringankan beban rakyat membuat persiapan perayaan.
Sebelum majlis berbuka puasa berkenaan, beliau turut mengiringi Perdana Menteri meninjau Bazaar Ramadan serta menyantuni rakyat di kawasan Universiti Apartment (UA), Sepanggar.






