TONGOD: Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah menggesa kepimpinan sekolah di daerah ini agar menjalinkan hubungan dua hala dengan rakan strategik dalam usaha memperkukuh pembangunan akademik.
Beliau berkata, kerjasama erat antara guru dan ibu bapa mampu membuka ruang kepada perkongsian pintar melibatkan jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta sektor swasta yang menjadi rakan strategik institusi pendidikan.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tongod, di sini, kelmarin.
Menurutnya, komuniti setempat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga disaran menyumbang idea dan kepakaran bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik.
“Pihak sekolah perlu berperanan sebagai duta kecil dalam pelbagai bidang kurikulum pendidikan di samping memupuk bakat pelajar dalam akademik dan sukan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sekolah di kawasan luar bandar berpotensi muncul sebagai pusat ilmu yang cemerlang sekiranya wujud kolaborasi berkesan dengan rakan strategik.
Dalam majlis itu, Masiung turut menyampaikan sumbangan dana bagi membantu operasi fizikal sekolah berkenaan.
SK Tongod diketuai oleh Guru Besar, Norita Pantau, manakala Yang Dipertua PIBG ialah Armon Bining.






