Sindiket Syabu Ditumpas, Polis Rampas Lebih RM2.6 Juta di KK dan Tawau

Sindiket Syabu Ditumpas, Polis Rampas Lebih RM2.6 Juta di KK dan Tawau

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam dua kes berasingan dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM2.6 juta menerusi operasi di Kota Kinabalu dan Tawau, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kejayaan itu hasil risikan berterusan, tindakan pantas anggota di lapangan serta kerjasama erat pelbagai agensi keselamatan dan orang awam.

“Keberhasilan ini adalah hasil risikan berterusan, tindakan pantas anggota serta kerjasama rapat antara agensi keselamatan dan orang awam dalam menyalurkan maklumat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kes pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 11 Mac lalu kira-kira jam 11.15 malam, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun dari Klang ditahan selepas disyaki cuba menyeludup dadah melalui bagasi ketibaan antarabangsa.

Pemeriksaan ke atas tiga kotak berwarna coklat bertulis “ST GUCHI” menemukan plastik lut sinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai syabu seberat 30.30 kilogram dengan anggaran nilai hampir RM1.5 juta, yang dipercayai mampu menampung lebih satu juta penagih.

Suspek kini direman sehingga 20 Mac ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu di Tawau, pada 13 Mac kira-kira jam 7.30 malam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Tawau menyerbu sebuah premis stor penyimpanan kenderaan dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.

Pemeriksaan menemukan tiga bungkusan plastik berisi syabu seberat 3.07 kilogram bernilai RM153,000, yang dianggarkan boleh menampung lebih 102,000 penagih.

Hasil soal siasat membawa kepada serbuan susulan di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Jawa, Tawau, yang membawa kepada penahanan dua lelaki masing-masing berusia 44 dan 73 tahun serta seorang wanita berusia 36 tahun.

Pemeriksaan di dalam sebuah bilik berkunci menemukan 20 paket lut sinar berisi syabu seberat 20.48 kilogram dengan nilai anggaran RM1.024 juta, yang dipercayai mampu menampung lebih 680,000 penagih.

Polis turut menyita beberapa aset termasuk sebuah motosikal Yamaha NMAX, sebuah lori tiga tan jenis Hicom dan sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Alphard.

Kesemua suspek direman sehingga 22 Mac ini dan turut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Jauteh menegaskan PDRM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti ini adalah kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.