Peter Dibebas Secara Parol: Kuasa Dibawah Jabatan Penjara, Bukan Polis – Jauteh

Peter Dibebas Secara Parol: Kuasa Dibawah Jabatan Penjara, Bukan Polis – Jauteh

0
SHARE

KOTA KINABALU: Isu pembebasan secara parol Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Peter Anthony, adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Penjara Malaysia dan bukan polis, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Menurut beliau, setakat ini Polis Sabah juga belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung dakwaan pembebasan berkenaan seperti dilaporkan Daily Express.

“Kami belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada mana-mana pihak. Tiada komen kerana kami belum menerima sebarang notis rasmi,” katanya di sini, semalam.

Jauteh menegaskan, sebarang keputusan berkaitan parol tertakluk sepenuhnya kepada Jabatan Penjara Malaysia, dan pihak polis hanya akan mengambil tindakan susulan sekiranya terdapat keperluan berdasarkan maklumat rasmi daripada agensi berkenaan.

“Kita akan lihat, bergantung kepada kenyataan daripada Pengarah Jabatan Penjara,” katanya lagi.

Terdahulu dilaporkan, bekas Menteri Infrastruktur Sabah itu, yang sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun di Penjara Kajang, dipercayai telah dibebaskan secara parol kira-kira dua minggu lalu.

Peter sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 pada 26 Mei 2022 selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati beliau bersalah memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pada 4 Mac 2025, Mahkamah Rayuan Malaysia menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman serta mengarahkan beliau menjalani hukuman penjara pada hari yang sama.

Beliau kekal menjalani hukuman tersebut selepas Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan semakan terhadap sabitan dan hukuman pada 20 Ogos 2025.

Peter sebelum ini memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Umum 2018 dan Pilihan Raya Negeri 2020 di bawah tiket Parti Warisan.