KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan beliau kini sah akan bertunang dengan pempengaruh media sosial, Bella Astillah dalam satu kenyataan ringkas di Facebook, hari ini.
Dalam perkongsian tersebut, Syed Saddiq memaklumkan lamaran yang dibuat telah diterima, sekali gus menandakan permulaan baharu dalam hubungan mereka.
“I asked, she said yes. Ini bukan pengakhiran cerita, ini permulaan kita. Dan hari ini majlis pertunangan kami, doakan,” katanya.
Menurut beliau, hubungan yang bermula daripada kerjasama kebajikan sehingga berjaya mengumpul lebih RM6 juta untuk rakyat itu akhirnya menyatukan hati mereka tanpa disedari.
Tambahnya lagi, detik lamaran tersebut berlangsung dalam suasana luar biasa apabila beliau melamar pasangannya di puncak Gunung Kinabalu ketika hujan lebat.
Syed Saddiq turut menzahirkan kesyukuran atas perjalanan hubungan mereka yang disifatkan sebagai perancangan terbaik oleh Allah SWT.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang rata-rata mendoakan kebahagiaan pasangan berkenaan.
Majlis pertunangan mereka akan berlangsung pada jam 3.30 petang hari ini dan sekali gus mendapat liputan secara langsung daripada Astro Awani dan beberapa lagi media massa serta hiburan.
Pihak SabahNews turut mengucapkan tahniah kepada kedua pasangan ini yang sekian lama dinanti-nantikan orang ramai untuk bersatu membina rumah tangga.






