KOTA KINABALU: Bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Tuaran berkuat kuasa serta-merta.
Beliau yang juga bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, serta barisan kepimpinan tertinggi parti.
Menurutnya, peletakan jawatan itu dibuat atas pertimbangan peribadi dan tidak berkaitan dengan sebarang masalah dalam UMNO Sabah.
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk hala tuju politik dan peranan saya selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, beliau difahamkan masih kekal sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Sementara itu, memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), Rahman yang juga bekas menteri berpandangan bahawa situasi semasa politik UMNO Sabah memerlukan kepimpinan baharu yang lebih muda bagi memastikan kesinambungan parti.
Mengulas mengenai masa depan politiknya, Rahman berkata, beliau kekal bersama UMNO buat masa ini, namun tidak menafikan menerima tawaran daripada parti lain.






