KUDAT: Kejayaan usahawan wanita tempatan membangunkan syarikat daripada perniagaan kecil sehingga menembusi pasaran antarabangsa menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian Norsiah Ahiddin melalui syarikat Norcy BeautyLab Sdn. Bhd. membuktikan usahawan luar bandar mampu berjaya dengan usaha gigih dan konsisten.
“Walaupun bermula dengan modal kecil, beliau kini berjaya membuka kilang ketiga di daerah sendiri. Kejayaan ini wajar dijadikan contoh kepada usahawan lain untuk terus berusaha dan berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kilang ketiga Norcy BeautyLab di Matunggong, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, produk Norcy BeautyLab kini bukan sahaja berkembang di dalam negara, malah telah menembusi pasaran antarabangsa termasuk Brunei, sekali gus membuktikan potensi besar usahawan tempatan untuk bersaing di peringkat global.
Ewon berkata, kerajaan negeri melalui kementeriannya sentiasa komited membantu usahawan menerusi pelbagai inisiatif termasuk geran SME-UP serta pembiayaan bagi menyertai ekspo antarabangsa.
“Kita mengalu-alukan lebih banyak penyertaan usahawan tempatan dalam ekspo antarabangsa bagi memperluaskan pasaran produk mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa bantuan kerajaan bukan sahaja meningkatkan kapasiti perniagaan, malah turut memberi impak kepada ekonomi setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan.
Sementara itu, Norsiah berkata, kejayaan yang dicapai hari ini bermula daripada impian kecil yang direalisasikan melalui usaha berterusan, sokongan pasukan serta bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan.
Beliau turut berkongsi cabaran ketika pandemik COVID-19 apabila perniagaannya terjejas, namun mengambil langkah proaktif dengan menghasilkan hand sanitizer bagi memenuhi permintaan semasa.
“Ketika jualan produk kecantikan merosot, kami tidak berputus asa. Kami membekalkan sanitizer kepada hospital dan kementerian, dan itu membantu syarikat terus bertahan,” katanya.
Mengimbas permulaan perniagaannya, beliau berkata Norcy BeautyLab bermula dengan modal hanya RM200 dari rumah sebelum membuka kilang pertama pada 2019.
“Jangan takut untuk bermula dari kecil kerana sesuatu yang besar bermula dengan langkah pertama,” katanya.






