PMX Arah Tindakan Segera Selesai Isu SK Balaban Jaya, Keselamatan Murid Jadi...

PMX Arah Tindakan Segera Selesai Isu SK Balaban Jaya, Keselamatan Murid Jadi Keutamaan

0
SHARE
Screenshot

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan segera dilaksanakan bagi menyelesaikan isu keselamatan dan akses pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran, dengan menegaskan bahawa kebajikan serta keselamatan murid mesti menjadi keutamaan.

Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada Kementerian Pendidikan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk penyelesaian segera.

“Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama, dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Susulan arahan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan beberapa langkah segera telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan serta kelangsungan pembelajaran murid tidak terjejas.

Menurut KPM, isu di sekolah berkenaan berpunca daripada kerosakan sebahagian infrastruktur akibat pergerakan tanah dan cerun yang menyebabkan kawasan sekolah tidak lagi selamat digunakan.

“Tindakan segera termasuk memindahkan sementara murid ke SK Pekan Beluran serta menyediakan pengangkutan bagi memastikan pembelajaran tidak terjejas dan ibu bapa tidak terbeban,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Selain itu, kerja naik taraf di SK Sungai Nangka akan dilaksanakan segera bagi menampung keperluan penyuraian murid sementara menunggu pembinaan semula SK Balaban Jaya.

KPM turut memaklumkan bahawa beberapa sesi libat urus telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bersama ibu bapa serta komuniti setempat bagi mencari penyelesaian terbaik.

“KPM bertanggungjawab memastikan keperluan pendidikan semua murid terjejas terus terpelihara, di samping memberi perhatian terhadap aspek keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah,” katanya.

Isu SK Balaban Jaya sebelum ini mendapat perhatian selepas media tempatan dalam laporan menyatakan murid terpaksa belajar dalam keadaan tidak kondusif, termasuk di khemah tanpa dinding dan koridor masjid, sekali gus mencetuskan kebimbangan ibu bapa.

Memetik laporan Borneo Post, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook turut menggesa tindakan segera diambil termasuk penyediaan bilik darjah kabin sebagai langkah sementara bagi memastikan murid dapat belajar dalam persekitaran lebih selesa dan selamat.

Turut dilaporkan, pembinaan bangunan sekolah baharu yang telah diluluskan dengan anggaran kos kira-kira RM2 juta dijangka mengambil masa beberapa bulan hingga setahun untuk disiapkan berikutan proses tender dan pembinaan, sekali gus memerlukan penyelesaian interim yang berkesan.