RM2,000 Bantuan Permulaan Kepada KIR Mangsa Kebakaran Kg Bahagia – Hajiji

RM2,000 Bantuan Permulaan Kepada KIR Mangsa Kebakaran Kg Bahagia – Hajiji

0
SHARE

SANDAKAN: Setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas dalam kebakaran besar di Kampung Bahagia, Batu Sapi menerima bantuan permulaan sebanyak RM2,000 bagi meringankan beban mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bantuan tersebut merangkumi RM1,000 daripada Kerajaan Negeri dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah.

Menurutnya, bantuan segera itu disalurkan susulan kebakaran besar yang memusnahkan hampir 1,000 rumah dalam kejadian pada Ahad lalu, yang disifatkan antara yang terbesar pernah berlaku di kawasan penempatan berkenaan.

Hari ini saya meninjau keadaan di lapangan melibatkan mangsa-mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan. Kebakaran ini adalah satu kebakaran yang agak besar, melibatkan hampir 1,000 rumah yang musnah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian dan menyampaikan bantuan di Dewan PPR Batu Sapi, pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan berharap bantuan tersebut dapat membantu meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Selain itu, Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah turut menyalurkan bantuan tambahan kepada mangsa yang terlibat.

Hajiji menjelaskan, tahap kemusnahan di kawasan itu amat serius apabila hampir keseluruhan kampung musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa laporan penuh dan terperinci mengenai jumlah sebenar mangsa dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu.

“Berdasarkan maklumat awal, kira-kira 70 peratus mangsa adalah bukan warganegara manakala 30 peratus merupakan warganegara Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bantuan akan tetap disalurkan kepada semua mangsa tanpa mengira status kewarganegaraan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri sedang meneliti beberapa cadangan bagi pembangunan semula kawasan berkenaan termasuk menimbus kawasan tersebut untuk tujuan pembinaan perumahan, namun ia melibatkan kos yang tinggi.

Katanya, keputusan lanjut hanya akan dibuat selepas menerima laporan lengkap daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan serta cadangan daripada Majlis Perbandaran Sandakan.

Setakat ini, sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri komited untuk terus membantu mangsa serta memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara.