KOTA KINABALU: ADUN Karambunai Datuk Dr Aliakbar Gulasan membangkitkan beberapa isu asas di kawasan Sepanggar yang masih belum diselesaikan, termasuk bekalan air dan elektrik, infrastruktur jalan serta keselamatan awam di Sidang DUN pada Isnin.
Beliau berkata penduduk di Pulau Sepanggar masih berdepan gangguan bekalan asas.
“Rakyat tidak menuntut kemewahan, mereka hanya menuntut cahaya yang tidak hilang tanpa amaran,” katanya, sambil mempersoalkan perancangan kerajaan untuk kawasan itu.
Selain itu, beliau turut menarik perhatian kepada keadaan muara Sungai Manggatal yang semakin cetek, menjejaskan pergerakan nelayan dan sumber pendapatan penduduk.
Katanya, kerja pendalaman dan penyelenggaraan perlu dilaksanakan segera.
Aliakbar juga membangkitkan isu lampu jalan tidak berfungsi di beberapa laluan utama seperti Jalan UMS dan Jalan Sepanggar, selain risiko keselamatan akibat ketiadaan jejantas di kawasan sibuk.
Di Kampung Tamalang Bawah, beliau berkata jalan yang belum digazetkan menyebabkan penyelenggaraan tidak dilakukan, menyukarkan penduduk.
“Jalan yang digunakan rakyat setiap hari tidak sepatutnya terus menjadi ‘jalan tanpa pemilik’,” katanya.






