Usahawan IKS Sabah Jana Nilai Jualan RM95.9 Juta Melalui Ekspo Antarabangsa Tahun...

Usahawan IKS Sabah Jana Nilai Jualan RM95.9 Juta Melalui Ekspo Antarabangsa Tahun Lalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah berjaya menjana nilai potensi jualan sebanyak RM95.9 juta hasil penyertaan dalam 18 ekspo perdagangan antarabangsa sepanjang tahun 2025, sekali gus mencatat peningkatan 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada tahun sebelumnya.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Jonnybone Kurum berkata, pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan inisiatif kementerian dalam memperluas pasaran produk tempatan ke peringkat global, selain meningkatkan aktiviti eksport dan sumbangan sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah.

Menurut beliau, bagi tahun 2026, kementerian akan terus memperkukuh usaha tersebut dengan menyertai 13 ekspo perdagangan antarabangsa utama, termasuk di Singapura, Thailand, Korea Selatan, Jepun, Filipina, Vietnam, Hong Kong, Perancis dan Indonesia.

“Penyertaan ini memberi peluang kepada usahawan IKS Sabah menembusi pasaran baharu, meningkatkan kebolehpasaran produk serta memperkukuh jenama Sabah di persada antarabangsa,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian dengan kerjasama Federation of Sabah Industries (FSI) dan Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) akan menganjurkan Sabah International Expo (SIE) pada 2 hingga 6 September 2026.

Katanya, penganjuran SIE bertujuan memposisikan Sabah sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa, dengan memberi tumpuan kepada sektor strategik seperti pembuatan, pertanian, pelancongan, penjagaan kesihatan dan teknologi hijau.

“Selaras dengan tema ‘Sabah – Your Gateway to Global Opportunities’, ekspo ini akan menjadi platform strategik menghubungkan sektor awam dan swasta, serta merancakkan perdagangan dalam pasaran BIMP-EAGA yang mempunyai lebih 80 juta penduduk,” katanya.

Beliau memaklumkan setakat ini sekurang-kurangnya tujuh negara telah mengesahkan penyertaan termasuk Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand, India, New Zealand dan China, dengan jangkaan kehadiran melebihi 30,000 pengunjung.

Selain itu, kementerian melalui Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sabah di Singapura (STTO) turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh akses pasaran usahawan Sabah ke republik tersebut.

Antaranya termasuk penganjuran Market Readiness Seminar, Tawau Edition dengan kerjasama Singapore Cooperation Enterprise bagi membantu usahawan membuat persediaan menembusi pasaran Singapura, serta Sabah Fest Singapore Edition 2026 sebagai platform promosi produk tempatan.

“Edisi terdahulu Sabah Fest di Singapura melibatkan sembilan pempamer dan berjaya menjana jualan kira-kira RM500,000,” katanya.