KUSKOP gerak misi bantuan, tawar penstrukturan semula pembiayaan mangsa kebakaran Sandakan

KUSKOP gerak misi bantuan, tawar penstrukturan semula pembiayaan mangsa kebakaran Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggerakkan misi bantuan serta menyediakan pakej penstrukturan semula pembiayaan bagi membantu mangsa kebakaran di Perkampungan Atas Air Kampung Bahagia, di sini, baru-baru ini.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif tersebut melibatkan pelan pemulihan perniagaan termasuk moratorium pembiayaan dan penstrukturan semula kemudahan kewangan melalui agensi-agensi di bawah kementerian.

Menurut beliau, antara agensi terlibat ialah TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang menawarkan pakej sokongan khas bagi meringankan beban mangsa, khususnya usahawan yang terjejas akibat kehilangan premis, inventori serta tempat tinggal.

“TEKUN Nasional menyediakan moratorium sehingga enam bulan, penjadualan semula pembiayaan serta kebenaran pengeluaran simpanan akaun TEKUN. Selain itu, pembiayaan bertindih turut ditawarkan sebagai suntikan modal tambahan untuk memulakan semula perniagaan.

“Bank Rakyat pula menawarkan moratorium ansuran bulanan sehingga enam bulan melibatkan pembiayaan perumahan, kenderaan dan peribadi, manakala AIM menyediakan penangguhan bayaran balik pinjaman selama enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, melalui Tabung Kesejahteraan dan Manfaat Sahabat (TKKS), usahawan AIM yang mengalami kerugian akan menerima bantuan tunai sehingga RM5,000, manakala mereka yang menerima rawatan di hospital layak mendapat bantuan harian sebanyak RM50.

Steven Sim menjelaskan, langkah tersebut penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan usahawan, lebih-lebih lagi dalam keadaan cabaran ekonomi semasa yang memberi tekanan kepada kos operasi dan bekalan.

Dalam pada itu, KUSKOP menggesa usahawan serta koperasi yang terjejas supaya segera menghubungi pejabat cawangan agensi berkaitan bagi mempercepatkan proses penyaluran bantuan.

Sementara itu, Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alamin turut turun padang meninjau keadaan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) PPR Batu Sapi dan Sekolah Kebangsaan Kampung Gas.

Dalam lawatan tersebut, sebanyak 400 bakul makanan serta barangan keperluan asas diserahkan kepada mangsa yang terjejas.

Selain itu, sepuluh agensi di bawah KUSKOP turut menyalurkan pelbagai bantuan tambahan termasuk barangan persekolahan, pakaian, bantuan tunai, zakat serta bantuan kewangan kepada pelajar.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bertindak sebagai agensi utama dalam menyelaras misi tanggungjawab sosial korporat (CSR) berkenaan.