Barter Trade Akan Dikaji, Ambil Kira Aspek Keselamatan dan Ekonomi – Ketua...

Barter Trade Akan Dikaji, Ambil Kira Aspek Keselamatan dan Ekonomi – Ketua Menteri

0
SHARE

SANDAKAN: Kerajaan negeri akan mengkaji cadangan untuk menghidupkan semula perdagangan tukar barang atau barter trade antara Sabah dan selatan Filipina dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk keselamatan serta impaknya terhadap ekonomi negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya menerima banyak cadangan berhubung perkara itu, namun kajian terperinci perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita akan kaji… banyak pihak memberikan cadangan mengenai perkara ini. Semua aspek kita akan ambil kira, khususnya keselamatan dan kebaikannya kepada ekonomi kita.

“Kita akan bincang perkara ini nanti dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan kerja ke beberapa pulau yang menempatkan pos keselamatan negara di perairan Sandakan, pada Selasa.

Lawatan itu diadakan sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan Ketua Menteri ke Eastern Sabah Safety Zone (ESSZONE) yang turut disertai Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos.

Turut serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Jafry Arifin; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Fairuz Renddan; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun; Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jamri; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab serta Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Hajiji bersama rombongan memulakan lawatan ke Pulau Bakungan Kecil sebelum meneruskan tinjauan ke Pulau Selingan dan Pulau Langkayan.

Mengulas lawatan itu, beliau berkata program berkenaan bertujuan meninjau keadaan pulau yang menempatkan anggota penguat kuasa Taman-Taman Sabah (TTS) dan pasukan keselamatan termasuk polis serta tentera.

Katanya, lawatan itu membolehkan beliau melihat sendiri tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan dan keadaan fasiliti di pos kawalan sekitar perairan Sandakan.

“Hasil tinjauan ini, saya lihat semua kesiapsiagaan pasukan keselamatan termasuk fasiliti di pos kawalan dalam keadaan baik, malah fasiliti juga sudah ditambah.

“Saya telah bawa perkara ini kepada Perdana Menteri dan banyak aset diberi peruntukan walaupun masih banyak lagi yang diperlukan.

“Ini amat penting untuk pasukan keselamatan mengawasi perairan kita, terutama aset canggih yang boleh memantau mereka yang mungkin mahu masuk ke negara kita,” katanya.

Ketua Menteri turut menyatakan keyakinan terhadap tahap keselamatan perairan pantai timur Sabah yang menurutnya mampu membantu meningkatkan aktiviti ekonomi khususnya sektor pelancongan.

“Sudah lama tiada insiden dilapor berlaku di perairan kita, ini sudah tentu menggalakkan pelancongan di pantai timur Sabah. Apabila keadaan aman dan keselamatan terjamin, ramai pelancong suka datang sini dan pelancongan berkembang.

“Pulau Sipadan antaranya menjadi tumpuan sebagai destinasi selaman terbaik dunia, jadi kita kena jaga keselamatan untuk memastikan tarikan pelancongan ini terus menjadi tumpuan pengunjung,” katanya.