KOTA KINABALU: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau gagal menyatukan orang Melayu walaupun telah berusaha lebih dua tahun ke arah itu.
“Saya mengaku saya gagal. Negara tercinta ini akan terlepas daripada genggaman orang Melayu jika mereka terus mengutamakan nasib pemimpin berbanding bangsa, negara dan agama,” katanya dalam hantaran media sosial.
Mahathir, yang pernah memimpin Umno, Bersatu dan Pejuang, sebelum ini melancarkan beberapa usaha penyatuan Melayu termasuk inisiatif payung besar Melayu pada Jun tahun lalu serta Gerakan Tanah Air (GTA) pada 2022.
Namun, GTA gagal dalam PRU15 apabila semua calonnya hilang deposit, termasuk Mahathir sendiri.
Bulan lalu, beliau berkata perpecahan orang Melayu berpunca daripada terlalu banyak parti Melayu yang memecah-belahkan masyarakat.






