DVS Sabah Tegaskan Penguatkuasaan Kebajikan Haiwan Ikut Prosedur

DVS Sabah Tegaskan Penguatkuasaan Kebajikan Haiwan Ikut Prosedur

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) menegaskan semua tindakan penguatkuasaan berkaitan kes kebajikan haiwan dilaksanakan mengikut prosedur serta selaras dengan Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 bagi memastikan kebajikan haiwan sentiasa terpelihara.

DVS Sabah dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan itu dibuat susulan aduan rasmi yang diterima dan dilaksanakan berdasarkan undang-undang serta prosedur penguatkuasaan sedia ada.

Kenyataan itu merujuk kepada hantaran Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Roger Chin bertarikh 8 Mei lalu berhubung tindakan penguatkuasaan dalam satu kes kebajikan haiwan membabitkan ‘Ugly’, seekor anjing peliharaan mereka yang sakit dan telah ditidurkan.

Menurut DVS Sabah, pegawai penguat kuasa menjalankan siasatan berdasarkan maklumat dan keterangan yang dikemukakan pengadu serta saksi selaras dengan prosedur perundangan yang ditetapkan.

Katanya, pegawai veterinar tidak semestinya terlibat secara langsung dalam tindakan penguatkuasaan, namun boleh dilibatkan sebagai saksi pakar bagi memberikan penilaian klinikal serta konteks perubatan sekiranya diperlukan.

Berhubung isu lawatan berulang, perkara ini boleh berlaku akibat aduan yang berulang atau pelbagai aduan yang diterima dalam sistem, yang memerlukan tindakan susulan serta verifikasi di lapangan oleh pihak penguat kuasa,” menurut kenyataan itu.

DVS Sabah turut menjelaskan bahawa menjadi amalan biasa dalam penguatkuasaan untuk memaklumkan pihak yang diadu mengenai peruntukan undang-undang serta implikasi sekiranya berlaku ketidakpatuhan termasuk kemungkinan tindakan perundangan.

Pada masa sama, jabatan itu mengakui situasi melibatkan haiwan sakit tenat boleh dilihat sesetengah pihak sebagai penekanan penguatkuasaan, justeru komunikasi yang jelas, panduan bersesuaian serta penglibatan input veterinar tepat pada masanya penting bagi memastikan pengurusan kes yang seimbang.

Mengenai isu eutanasia, DVS Sabah berkata keputusan yang disokong pegawai veterinar bertauliah bersama persetujuan pemilik haiwan lazimnya dibuat demi kepentingan terbaik haiwan terbabit berdasarkan keadaan klinikal dan aspek kebajikannya.

Pengarah DVS Sabah, Zul Bahar berkata, pihaknya memandang serius setiap kebimbangan awam berkaitan penguatkuasaan kebajikan haiwan.

“Walaupun tindakan diambil selaras dengan undang-undang, kami mengakui kepentingan mengimbangi penguatkuasaan dengan komunikasi yang jelas serta input veterinar yang bersesuaian.

“DVS Sabah komited untuk memastikan pendekatan yang profesional, adil dan berperikemanusiaan dalam setiap kes,” katanya.

Beliau berkata, DVS Sabah sentiasa terbuka menerima maklum balas konstruktif bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.