JAKARTA: Komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani dilaporkan menolak hasrat anak bongsu lelakinya, Dul Jaelani, untuk melangsungkan pernikahan secara sederhana di Pejabat Urusan Agama (KUA).
Memetik laporan mStar yang menukil laporan media Indonesia Suara, Dhani berkata beliau mahu mengadakan majlis sambut menantu secara besar-besaran bagi meraikan anak bongsunya itu.
“Saya tak mahu. Saya mahu mengadakan majlis sambut menantu.
“Bukan sebab mahu acara meriah, tetapi kerana ramai kenalan saya,” katanya.
Menurut Dhani, beliau juga sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk memastikan majlis perkahwinan Dul bersama pelakon Tissa Biani tampil berbeza berbanding dua lagi anaknya sebelum ini.
“Perancangan saya, majlis sambut menantu nanti akan lain daripada yang lain. Berbeza dengan perkahwinan abang-abangnya,” ujarnya.
Sebelum ini, Dul dilaporkan mahu mengadakan majlis pernikahan secara sederhana di KUA, namun cadangan itu tidak dipersetujui bapanya.
Untuk rekod, Dul merupakan anak bongsu hasil perkahwinan Dhani bersama penyanyi Maia Estianty.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1996 sebelum bercerai pada 2008.






