KOTA KINABALU: Sebanyak bahagian hidupan liar dilindungi bernilai lebih RM550,000 dirampas dalam serbuan di Kampung Wokok Batangan, Tuaran.
Serbuan jam 7.15 pagi Jumaat itu dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar Bukit Aman bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah, yang turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun yang merupakan bekas renjer hutan.
Antara rampasan ialah 330 keping sisik tenggiling, 55 tanduk rusa, bahagian disyaki tanduk badak, kulit dan bangkai ular sawa, tengkorak burung enggang dan beruang, serta tulang dan gigi gajah.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM550,000 hingga RM589,000.
Siasatan mendapati suspek dipercayai mengumpul dan membeli bahagian haiwan tersebut daripada penduduk kampung di pedalaman Sabah sejak bertugas sebagai renjer hutan.
Kes disiasat di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah.






