Model Pertumbuhan Seimbang Tangani Isu Alam Sekitar dan Pembangunan

Model Pertumbuhan Seimbang Tangani Isu Alam Sekitar dan Pembangunan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengamalkan pendekatan model pertumbuhan seimbang dalam menangani isu alam sekitar dan pembangunan di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sabah tidak mahu pembangunan yang memusnahkan alam sekitar kita. Namun Sabah juga tidak boleh menerima pendekatan yang mana idealisme alam sekitar melambatkan kemajuan rakyat kita.

Kita mesti menolak kedua-dua ekstrem ini. Kita tidak mahu pembangunan yang melulu. Tetapi kita juga tidak mahu peralihan yang tidak realistik. Jalan ke hadapan bagi Sabah ialah model pertumbuhan seimbang.

“Itulah pertumbuhan dengan disiplin; pemuliharaan dengan nilai; pelaburan dengan tanggungjawab; peralihan tenaga dengan kemampuan dan kemampanan dengan keadilan,” katanya pada sidang kemuncak World Green and Sustainability Summit di Shangri-La Tanjung Aru Resort dekat sini pada Isnin.

Beliau berkata Sabah mungkin sebuah negeri kecil dalam sebuah negara kecil, namun mempunyai kekuatan dan aset yang semakin bernilai dalam dunia hari ini.

“Kita dikurniakan modal semula jadi yang kaya dan biodiversiti luar biasa. Kita mempunyai sumber daratan dan maritim yang luas. Kita mempunyai potensi tenaga, kedudukan geografi yang strategik dan kestabilan politik. Dan yang paling penting, kita mempunyai generasi muda yang bersedia membantu membentuk ekonomi masa depan.

“Peluang yang ada di hadapan Sabah amat besar. Sabah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam melindungi kawasan hutan simpan yang luas, memelihara biodiversiti yang penting di peringkat global serta mengekalkan antara kadar tertinggi kawasan perlindungan di rantau ini.

“Hari ini, Sabah diiktiraf sebagai pemimpin penting dalam pemuliharaan, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh Asia Tenggara. Disebabkan itu, Sabah berada pada kedudukan terbaik untuk menjadi destinasi pelaburan yang bertanggungjawab dan mampan,” katanya.

Hajiji berkata fasa pertumbuhan hijau Sabah seterusnya adalah bergerak kepada pemuliharaan yang mempunyai nilai.

“Kita sedang beralih daripada melindungi sumber kepada membangunkan industri yang bertanggungjawab berasaskan sumber tersebut. Kita juga sedang beralih daripada hanya menjadi penyumbang hijau kepada peneraju ekonomi hijau.

“Ini bermakna membangunkan pasaran karbon yang berwibawa dan memberi manfaat kepada Sabah. Ia juga bermakna menarik pelaburan hijau berkualiti yang mewujudkan nilai ekonomi sebenar, serta mengembangkan industri berasaskan tenaga boleh diperbaharui, pertanian mampan, ekonomi biru, ekopelancongan dan inovasi berasaskan biodiversiti.

“Ia juga bermakna memastikan syarikat tempatan, pekerja tempatan dan komuniti tempatan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai,” katanya.

Ketua Menteri berkata jauh sebelum kemampanan menjadi agenda antarabangsa, Sabah sudah pun melindungi hutan, lautan, hidupan liar dan sebahagian daripada ekosistem terkaya di rantau ini.

“Hari ini, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah berada di bawah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas), dan itu bukan satu komitmen yang kecil,” katanya.

Beliau berkata WGSS merupakan platform penting untuk membincangkan isu kemampanan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan masa depan generasi muda.

Namun katanya, kemampanan bukan sekadar kedengaran baik di dewan persidangan, tetapi ia juga mesti berfungsi di lapangan dan masuk akal kepada rakyat.

“Peralihan hijau yang terlalu mahal untuk keluarga biasa bukanlah sesuatu yang mampan. Dasar yang melindungi masa depan tetapi membebankan masa kini perlu dinilai dengan teliti.

“Model pembangunan yang kelihatan baik di peringkat antarabangsa tetapi melemahkan daya saing tempatan bukanlah model yang tepat untuk Sabah. Bagi Sabah, kemampanan mesti bersifat praktikal. Ia mesti adil. Ia mesti mampu dilaksanakan dan paling penting, ia mesti memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.