PENAMPANG: Maxis sekali lagi memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan tahun ini menerusi pengalaman interaktif bertemakan “Aramaiti! Gema Jiwa Kaamatan” di tapak Kadazandusun Cultural Association (KDCA), yang berlangsung sehingga 31 Mei ini.
Mengangkat semangat budaya dan konektiviti, reruai Maxis tampil dengan pelbagai tarikan unik yang menggabungkan elemen tradisi Kaamatan bersama teknologi moden bagi memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung.

Menyambut kehadiran orang ramai di pintu masuk KDCA ialah maskot pertama Sabah setinggi sembilan kaki, Maxis Dinocorn, yang tampil mengenakan pakaian tradisi Kaamatan.
Tarikan ikonik itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin.
Sebagai satu-satunya syarikat telekomunikasi yang menaja pertandingan Unduk Ngadau, Maxis terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong warisan dan budaya masyarakat Sabah.
Reruai Maxis yang ada di perkarangan KDCA turut dimeriahkan dengan penampilan peserta Unduk Ngadau peringkat negeri serta pasukan Kupi-Kupi FM Cruiser.

Tarikan utama di reruai tersebut ialah pemasangan interaktif gendang yang diinspirasikan daripada gong Kaamatan. Setiap paluan menghasilkan paparan cahaya dan warna yang memukau menerusi motif tempatan, sekali gus menggambarkan gabungan budaya dan teknologi dalam suasana penuh meriah.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung berpeluang menyertai bengkel dan persembahan gendang selain memenangi pelbagai barangan eksklusif Maxis termasuk koleksi Maxis Dinocorn & Friends.
Kemuncak acara dijangka berlangsung pada hujung minggu terakhir menerusi cabaran ritma yang menawarkan hadiah menarik seperti jam pintar, pembesar suara dan pelbagai lagi ganjaran eksklusif.
Dalam masa sama, setiap pembelian telefon pintar baharu serta pendaftaran pelan Maxis di reruai berkenaan turut melayakkan pelanggan menyertai cabutan bertuah khas.
Seramai 10 pemenang bakal dipilih untuk menyertai cabaran “60 Seconds Fill Your Trolley Challenge”, di mana Maxis akan menaja barangan keperluan harian yang berjaya dikumpulkan peserta dalam tempoh 60 saat.
Menerusi “Aramaiti! Gema Jiwa Kaamatan”, Maxis bukan sahaja meraikan kemeriahan pesta menuai, malah terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat Sabah melalui pengalaman yang menghubungkan budaya, hiburan dan teknologi dalam satu suasana penuh warna-warni.






