Jamawi Antara Lagi 3 Individu Ditahan SPRM Berkenaan Isu Penyelewengan Dana KKLW

Jamawi Antara Lagi 3 Individu Ditahan SPRM Berkenaan Isu Penyelewengan Dana KKLW

0
SHARE

KOTA KINABALU – SPRM menahan lagi tiga orang individu bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) Sabah yang dianggarkan RM1.5 bilion.

Ketiga yang ditahan adalah Ketua Pemuda UMNO Tenom merangkap Ketua Penerangan Pemuda UMNO; Jamawi Jaafar, Pemuda UMNO Tawau merangkap Exco Pemuda UMNO; Ariffin Kassim dan Ketua Wira Parti Warisan Sabah; Datuk Mohd Azis Jamman.

Mohd Azis dan Jamawi ditahan di SPRM Kota Kinabalu, manakala Ariffin ditahan di SPRM Tawau.

Jamawi kini adalah pegawai khas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Namun, menurut laporan Malaysia Kini, penahanan itu berkaitan dakwaan kesalahan yang dilakukan ketika dia menjadi pembantu kepada Presiden Parti Warisan iaitu Datuk Seri Shafie Apdal ketika Shafie memegang kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada masa itu.

Selepas Shafie digugurkan dari kabinet pada Julai 2015, Jamawi telah dipindah ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Pada hari yang sama, salah seorang peguam Mohd Azis, Loretto Padua Jr, berkata, anak guamnya memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM di Jalan Sulaman, sebelum dibawa “secara rahsia” ke pejabat SPRM di kompleks pentadbiran kerajaan persekutuan negeri.

“Saya diberitahu dia dibawa keluar secara rahsia sekitar pukul dua petang,” katanya kepada Malaysiakini.

Mohd Azis dijangka dibawa ke mahkamah untuk direman hari ini, Selasa.

“SPRM tidak pernah bekerjasama dengan kami, tidak memberi makluman. Jadi kami perlu tunggu di mahkamah bermula pagi esok,” katanya yang juga Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah.

Mohd Azis merupakan Ketua Pemuda UMNO Semporna sebelum keluar parti dan menyertai Parti Warisan Sabah.

Dia merupakan pemimpin Parti Warisan baharu yang ditahan dalam siasatan SPRM berhubung dana yang didakwa diseleweng daripada projek yang sepatutnya dilaksanakan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut. Walaubagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut bagi mengelakkan gangguan dalam proses siasatan.

Penahanan ini dipercayai berkaitan dengan beberapa siri tahanan sebelum ini termasuklah bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Naib Presiden Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony dan seorang ahli perniagaan.