Tun Musa Seru Rakyat Sabah Perkukuh Perpaduan, Pelihara Warisan Sempena Kaamatan 2026

Tun Musa Seru Rakyat Sabah Perkukuh Perpaduan, Pelihara Warisan Sempena Kaamatan 2026

0
SHARE

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memperkukuhkan perpaduan, memelihara warisan budaya dan bersama-sama memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan negeri sempena sambutan Pesta Kaamatan 2026.

Dalam perutusan khas Kaamatan 2026, beliau berkata Pesta Kaamatan yang disambut pada setiap 30 dan 31 Mei bukan sahaja merupakan perayaan kebudayaan yang penting bagi masyarakat Sabah, malah menjadi simbol kesyukuran, perpaduan dan keharmonian yang telah lama menjadi asas kekuatan negeri ini.

Menurut beliau, Kaamatan yang berakar daripada tradisi masyarakat yang meraikan hasil tuaian padi kini telah berkembang menjadi perayaan yang menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang.

“Walaupun peranan penanaman padi dalam kehidupan masyarakat telah berubah seiring arus pemodenan dan perkembangan semasa, inti pati Kaamatan sebagai perayaan kesyukuran, kebersamaan dan saling menghormati tetap kekal utuh,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tun Musa berkata, kepelbagaian masyarakat Sabah yang terdiri daripada lebih 30 kumpulan etnik serta pelbagai subetnik merupakan kekuatan terbesar negeri ini dan perlu terus dipelihara.

Beliau turut menegaskan bahawa keharmonian serta persefahaman yang dinikmati rakyat Sabah sejak sekian lama menjadi contoh kepada negara dan perlu dipertahankan daripada sebarang unsur yang boleh menggugat perpaduan.

“Justeru, kita mesti terus menolak sebarang unsur perpecahan, fahaman ekstrem dan sentimen sempit yang boleh menggugat perpaduan serta muhibah yang telah lama dipupuk bersama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha pembangunan negeri perlu dilaksanakan secara inklusif bagi memastikan semua lapisan masyarakat menikmati manfaat kemajuan yang dicapai.

Katanya, penekanan berterusan perlu diberikan kepada aspek pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan infrastruktur, capaian digital dan peluang ekonomi khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman.

Beliau turut menekankan kepentingan melahirkan generasi muda yang berilmu, berdisiplin, berdaya tahan dan mempunyai nilai-nilai murni bagi memastikan mereka mampu menyumbang secara bermakna kepada masa depan Sabah.

Selain itu, Tun Musa mengingatkan rakyat agar terus memelihara tradisi budaya, bahasa, seni dan adat resam masyarakat pribumi yang menjadi identiti serta khazanah berharga negeri ini.

“Menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan warisan ini terus subur, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata sambutan Kaamatan wajar dijadikan platform untuk memperkukuhkan semangat perpaduan, kasih sayang dan keprihatinan sesama masyarakat demi memastikan Sabah terus aman, maju dan makmur.

Pada akhir perutusannya, Tun Musa bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin, mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan 2026 kepada seluruh rakyat Sabah yang meraikannya.

“Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan,” katanya.