300 Ditahan Dalam Operasi Ajaran Sesat di Lok Yuk

300 Ditahan Dalam Operasi Ajaran Sesat di Lok Yuk

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 300 individu ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan melibatkan program dikaitkan dengan ajaran sesat di Dewan SM Lok Yuk, Likas, hari ini.

Operasi bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menyasarkan Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei lalu, susulan aduan awam diterima pada 28 Mei.

Hasil semakan mendapati program tersebut mempunyai kaitan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan sejak 2007.

Daripada jumlah itu, 12 individu dikenal pasti sebagai pemimpin dan penganjur utama, manakala 288 lagi merupakan ahli jemaah yang hadir dari beberapa daerah di Sabah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995,” katanya dalam kenyataan.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut merampas 24 helai banting yang memaparkan pengasas dan kepimpinan kumpulan berkenaan, kira-kira 200 buku serta pelbagai bahan bacaan dan dokumen berkaitan aktiviti mereka.

Kesemua individu yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa selepas siasatan awal dijalankan.

Syed Lot turut menasihatkan orang ramai agar mendapatkan panduan agama daripada sumber sahih dan diiktiraf, serta merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai keraguan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam,” tegasnya.