KOTA KINABALU, SABAH – Gelombang kebangkitan rakyat Sabah dijangka kembali menggegarkan ibu negeri apabila Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 akan berlangsung pada 4 dan 5 Julai 2026 di Dataran Deasoka, Gaya Street, Kota Kinabalu bagi mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah bernilai RM1.5 bilion yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika menjawat jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 berkata, himpunan tersebut dianjurkan bagi menuntut ketelusan, akauntabiliti dan keadilan terhadap kes berprofil tinggi yang sehingga hari ini masih menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan rakyat Sabah.
Menurut sekretariat itu, rakyat Sabah tidak boleh terus berdiam diri apabila isu yang melibatkan dana awam dalam jumlah yang begitu besar masih menjadi tanda tanya tanpa penjelasan yang memuaskan kepada rakyat.
“Kami mahu jawapan. Kami mahu ketelusan. Kami mahu rakyat Sabah mengetahui apakah perkembangan sebenar kes yang melibatkan dana RM1.5 bilion yang suatu ketika dahulu menjadi perhatian seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penganjur mensasarkan kehadiran kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada NGO, badan masyarakat sivil, aktivis, mahasiswa, golongan belia, pemimpin masyarakat dan rakyat dari seluruh Sabah yang prihatin terhadap isu integriti, tadbir urus dan akauntabiliti.
Menurut sekretariat berkenaan, himpunan itu bukan bertujuan mencetuskan kekecohan, sebaliknya menjadi medan rakyat menyuarakan tuntutan agar setiap dakwaan yang melibatkan wang rakyat disiasat secara telus, bebas dan profesional tanpa sebarang campur tangan.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui ke mana perginya wang rakyat. Rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan. Tiada sesiapa yang seharusnya kebal daripada siasatan jika melibatkan kepentingan awam,” tegas kenyataan itu.
Untuk rekod, kes berhubung dakwaan penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah bernilai RM1.5 bilion pernah menjadi tumpuan nasional selepas beberapa siri siasatan dijalankan oleh SPRM pada tahun 2017.
Sekretariat Himpunan Bangkit Sabahan 2.0 turut menegaskan bahawa perhimpunan tersebut dianjurkan secara aman, mematuhi undang-undang dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana penganjuran perhimpunan lain.
Orang ramai yang prihatin terhadap isu rasuah, ketelusan dan masa depan Sabah diseru hadir bagi menunjukkan solidariti serta menghantar mesej jelas bahawa rakyat Sabah tidak akan berhenti menuntut kebenaran, keadilan dan akauntabiliti.
Ayuh Bangkit Demi Sabah!
Tolak Rasuah. Tuntut Ketelusan. Pertahankan Hak Rakyat Sabah.






