PENAMPANG: Projek pembinaan Tamu Donggongon bernilai RM8.5 juta kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 92 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini, sekali gus bakal memberi manfaat besar kepada para usahawan penjaja, peniaga kecil dan komuniti setempat.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, projek yang dilaksanakan menggunakan peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri itu kini berada di peringkat akhir pelaksanaan.
Menurutnya, walaupun projek berkenaan pada asalnya dijadualkan siap pada April 2026, syarikat pelaksana telah diberikan lanjutan masa sehingga Disember tahun ini berikutan semakan semula skop kerja, khususnya melibatkan komponen elektrikal.
“Saya yakin kemudahan baharu ini akan memberi manfaat besar kepada para usahawan penjaja dan peniaga kecil, para pengunjung serta komuniti Penampang secara keseluruhannya.
“Saya juga gembira melihat projek naik taraf Tamu Donggongon yang diusahakan ketika saya menjadi Ahli Parlimen Penampang kini berada di peringkat akhir pelaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini,” katanya selepas meninjau tapak projek tersebut, hari ini.
Dalam lawatan sama, Ewon turut meninjau projek menaik taraf Ruang Legar Kepayan Square yang telah siap sepenuhnya dengan peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Beliau berkata, projek tersebut berjaya direalisasikan hasil permohonan yang dikemukakan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Datuk Jannie Lasimbang.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming, yang telah menyalurkan peruntukan tersebut kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi menjayakan projek ini,” katanya.
Menurut Ewon, kemudahan yang dinaik taraf itu bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti kejiranan Kepayan dan para peniaga, malah berpotensi menjadi lokasi pelbagai program kemasyarakatan pada masa akan datang.
Beliau berkata, DBKK turut merancang beberapa lagi fasa pembangunan dan kerja-kerja menaik taraf di kawasan berkenaan yang memerlukan permohonan peruntukan tambahan bagi mempertingkatkan lagi kemudahan untuk kegunaan masyarakat setempat.






