Rumah Musnah Dalam Kebakaran di Kg Minangkob, Tiga Mangsa Cedera Termasuk Kanak-Kanak

Rumah Musnah Dalam Kebakaran di Kg Minangkob, Tiga Mangsa Cedera Termasuk Kanak-Kanak

0
SHARE

TUARAN: Sebuah rumah tidak kekal di Kampung Minangkob, Jalan Tamparuli-Ranau musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran awal pagi tadi yang turut melibatkan tiga buah kenderaan serta mengakibatkan tiga mangsa cedera.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, TPgB II Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.38 pagi sebelum sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digerakkan ke lokasi.

Menurut beliau, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.04 pagi dan mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal berukuran 40 x 60 kaki telah terbakar sepenuhnya.

“Selain rumah yang musnah 100 peratus, kebakaran turut melibatkan sebuah Toyota Vios dan sebuah Perodua Viva yang terbakar sepenuhnya, manakala sebuah Proton Persona mengalami kerosakan kira-kira 25 peratus pada bahagian belakang.

Terdapat tiga mangsa terlibat dalam kejadian ini, termasuk seorang wanita berusia 54 tahun yang mengalami kecederaan ketika menyelamatkan diri, seorang lelaki berusia 36 tahun mengalami serangan asma dan seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan melecur pada bahagian kaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Seorang mangsa dihantar ke Hospital Tuaran oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala dua lagi mangsa dibawa oleh pasukan EMRS untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan satu pancutan menggunakan sumber air daripada jentera bomba.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.05 pagi selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya yang wujud di lokasi kejadian,” katanya.

Turut membantu dalam operasi berkenaan ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.