Lelaki Ditahan Miliki 300 Telur Penyu Dilindungi di Tuaran

Lelaki Ditahan Miliki 300 Telur Penyu Dilindungi di Tuaran

0
SHARE

TUARAN: Seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan dalam satu operasi khas di Kampung Serusup, di sini, kerana disyaki memiliki hasil hidupan liar yang dilindungi.

Operasi bersepadu itu dijalankan oleh Pasukan Perisikan Siasatan Khas (WCB) bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah hasil risikan dan siasatan terdahulu.

Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa merampas sebanyak 300 biji telur yang disyaki telur Penyu Hijau dengan nilai anggaran RM3,000.

Kes disiasat di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa kebenaran sah.

Jabatan Hidupan Liar Sabah dalam kenyataan menegaskan pihaknya memandang serius sebarang aktiviti melibatkan pemilikan, perdagangan atau penyeludupan hidupan liar, dan akan terus mempergiatkan penguatkuasaan bagi melindungi spesies terancam.

Menurut jabatan itu, walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan, permintaan terhadap telur penyu masih wujud dan terus mendorong aktiviti penyeludupan serta penjualan haram.

Orang awam diingatkan agar tidak membeli, memiliki atau memakan telur penyu kerana ia merupakan kesalahan di sisi undang-undang, selain menjejaskan kelangsungan populasi penyu di Sabah.