Yayasan Bank Rakyat Rai 67 Pelajar Cemerlang Di Tenom

Yayasan Bank Rakyat Rai 67 Pelajar Cemerlang Di Tenom

0
SHARE
Ybr
Dari kanan, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Pengurus Besar YBR dan Junik Bajit; Lembaga Pemegang Amanah YBR menyerahkan sijil anugerah kepada penerima di Tenom ( Sumber Foto: Ihsan Yayasan Bank Rakyat )

TENOM, SABAH – Yayasan Bank Rakyat (YBR) meraikan 63 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di lapan buah sekolah menengah di sekitar Tenom bagi membantu tahap pendidikan murid-murid di sana.

YBR di dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Perkasa, Tenom Sabah telah menyampaikan sijil serta insentif melibatkan pelajar yang mendapatkan keputusan cemerlang di dalam peperiksaan dengan objektif bagi membantu meningkatkan akademik serta memotivasikan mereka untuk lebih berjaya di masa akan datang.

Penyerahan anugerah kepada pelajar-pelajar ini telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Junik Bajit dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2022 di sini, baru-baru ini.

Turut hadir dalam sesi penyampaian ini adalah Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, Junik berkata, pihaknya amat mengambil berat dan terpanggil untuk membantu mereka yang berpontensi dalam agenda meningkatkan tahap pendidikan dikalangan pelajar-pelajar khususnya yang bagi mereka yang berada di luar bandar.

“Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan pelajar untuk memulakan pengajian di peringkat tertier serta sebagai pembakar semangat bagi meneruskan kejayaan untuk meningkatkan sosioekonomi keluarga ke peringkat seterusnya,” katanya.

Jelas beliau, usaha ini juga menjadi salah satu inisiatif dalam memastikan masyarakat sentiasa mendapat pendidikan yang terbaik serta membantu melahirkan masyarakat yang lebih berilmu terutamanya di Sabah.

Di dalam majlis yang sama, seramai 4 pelajar yang masih meneruskan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di sekitar Sabah turut menerima Bantuan Awal Pengajian (BAP) YBR sebagai bantuan untuk memulakan pengajian atau sebagai kegunaan menguruskan kelengkapan yang diperlukan untuk meneruskan pengajian.

Sejak Januari tahun ini sehingga kini, YBR sudah menyalurkan peruntukan sebanyak RM237,000 menerusi BAP bagi membantu pelajar dari keluarga B40 untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).