TAWAU: Semua majikan di negara ini disaran memperuntukkan bajet khusus bagi melaksanakan program kesedaran dan pendidikan berkaitan jenayah penipuan dalam talian atau ‘scam’ dalam kalangan pekerja masing-masing.
Penasihat Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah (PPDJS), Mohd. Zaki Harry Susanto, berkata usaha membanteras scam tidak boleh diserahkan kepada kerajaan atau agensi penguat kuasa semata-mata, sebaliknya perlu dipikul bersama semua pihak termasuk sektor swasta.
“Majikan perlu melihat program kesedaran anti-scam sebagai satu pelaburan untuk melindungi pekerja dan organisasi daripada risiko penipuan kewangan.
“Jenayah scam bukan lagi isu individu, sebaliknya ancaman sosial dan ekonomi yang memerlukan tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi panel forum ‘Komuniti Bijak, Bebas Scammer’ anjuran Mutiara GRS di Tuaran, baru-baru ini.
Menurutnya, kerugian akibat penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan ketara apabila mencatat RM1.57 bilion pada 2024 sebelum melonjak kepada RM2.77 bilion pada 2025, iaitu peningkatan hampir 76 peratus.
Katanya, Sabah turut tidak terkecuali dengan pelbagai kes melibatkan pelaburan tidak wujud, pinjaman palsu, pembelian dalam talian dan penyamaran pegawai agensi kerajaan yang terus dilaporkan dari semasa ke semasa.
“Scammer tidak memilih mangsa berdasarkan umur atau tahap pendidikan, sebaliknya mengeksploitasi emosi, ketakutan dan kepercayaan seseorang,” katanya, sambil menambah mangsa turut melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk golongan profesional.
Beliau berkata sindiket juga menggunakan pelbagai taktik termasuk penyamaran sebagai pegawai polis, bank atau agensi kerajaan, serta tawaran pelaburan dan pekerjaan tidak wujud.
Sehubungan itu, beliau menggesa lebih banyak organisasi dan syarikat swasta melaksanakan program literasi digital dan kesedaran anti-scam secara berkala bagi mengurangkan jumlah mangsa serta kerugian akibat jenayah tersebut.






