RM339.16 Juta Diperuntukkan Untuk Program SYUKUR Tahun Ini – Ketua Menteri

RM339.16 Juta Diperuntukkan Untuk Program SYUKUR Tahun Ini – Ketua Menteri

0
SHARE

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri meneruskan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM339.16 juta sebagai salah satu instrumen utama di bawah agenda pembasmian kemiskinan negeri.

Katanya, bantuan SYUKUR telah distruktur semula pada tahun ini kepada kadar RM200 sebulan sebagai bantuan pelengkap kepada inisiatif Kerajaan Persekutuan iaitu Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan kewangan lain yang tersedia.

Penstrukturan semula program SYUKUR ini membolehkan jumlah penerima diperluaskan daripada 100,000 penerima pada tahun lalu kepada 140,000 penerima pada tahun ini, sekali gus memastikan lebih ramai rakyat Sabah mendapat manfaat daripada bantuan Kerajaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) Daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, di sini, pada Selasa.

Menurut beliau, pembayaran SYUKUR dibuat secara berfasa dengan setiap fasa dibayar secara sekaligus (lump-sum) bagi tempoh tiga bulan, iaitu sebanyak RM600 yang akan dikreditkan ke akaun penerima yang mempunyai akaun bank atau disalurkan secara tunai kepada penerima yang layak.

Katanya, Program SYUKUR telah mula dibayar kepada penerima yang layak bagi Fasa 1 pada 11 Mac 2026, manakala pembayaran Fasa 2 secara dalam talian mula dikreditkan ke akaun penerima bermula 23 Mei 2026.

“Saya amat berbesar hati untuk memaklumkan bahawa pembayaran SYUKUR Fasa 2 bagi agihan pertama secara tunai akan dibuka bermula 18 Jun 2026 (Khamis) sehingga 23 Jun 2026 (Selasa) kepada penerima yang layak di seluruh negeri Sabah, melibatkan seramai 17,848 penerima.

“Pembayaran ini melibatkan bantuan sebanyak RM600 secara sekaligus bagi tempoh April hingga Jun 2026.

“Saya berharap bantuan yang diterima ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memenuhi keperluan asas keluarga, pendidikan anak-anak serta perbelanjaan harian yang semakin mencabar,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata program outreach seperti itu amat penting kerana memberi ruang kepada kerajaan untuk turun padang mendekati rakyat, memahami cabaran yang dihadapi serta memastikan segala bentuk bantuan dan inisiatif kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.