Integriti Bukan Pilihan, Tapi Tanggungjawab – Madius Komited POIC Sabah Bebas Rasuah

Integriti Bukan Pilihan, Tapi Tanggungjawab – Madius Komited POIC Sabah Bebas Rasuah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Integriti bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap warga kerja dalam memastikan sesebuah organisasi kekal bersih, telus dan dipercayai, kata Pengerusi POIC Sabah Sdn Bhd, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) POIC Sabah Sdn Bhd yang diadakan pada Jumaat sebagai manifestasi komitmen syarikat untuk memperkukuh budaya integriti dan menolak sebarang bentuk amalan rasuah dalam organisasi.

Menurut Madius, rasuah merupakan musuh kepada kemajuan, keadilan dan masa depan yang lebih baik, justeru usaha membanterasnya memerlukan komitmen berterusan daripada seluruh warga organisasi.

Integriti bukan sesuatu yang datang dengan sendirinya. Ia perlu dibina secara berterusan, diperkukuhkan melalui dasar dan prosedur yang jelas, serta dihidupkan melalui contoh teladan daripada setiap lapisan kepimpinan.

“Atas sebab itu, pihak pengurusan dan Lembaga Pengarah POIC Sabah sentiasa komited untuk memimpin organisasi ini dengan penuh integriti,” katanya.

Beliau menjelaskan, amalan rasuah lazimnya berpunca daripada tiga faktor utama yang dikenali sebagai ‘Segitiga Penipuan’, iaitu peluang, keperluan dan pembenaran diri.

Katanya, apabila seseorang merasakan tiada siapa yang memerhatikan, berdepan tekanan peribadi yang berat dan mula membenarkan perbuatan salah dalam pemikirannya, maka ketika itulah risiko berlakunya rasuah semakin meningkat.

“Melalui ikrar yang dilafazkan hari ini, kita menegaskan bahawa kita sedar, prihatin dan tidak akan memberi ruang kepada rasuah dalam apa jua bentuk sekalipun di tempat kerja,” katanya.

Madius turut mengingatkan bahawa rasuah tidak hanya melibatkan wang ringgit, malah boleh berlaku dalam bentuk lain seperti pemberian hadiah yang tidak wajar, layanan istimewa, penyalahgunaan maklumat sulit atau sebarang tindakan yang memberi kelebihan tidak adil kepada pihak tertentu.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh warga kerja POIC Sabah agar sentiasa berpegang kepada etika kerja dan berani melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan melalui saluran yang disediakan.

“Melaporkan rasuah bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Sebaliknya, ia adalah tindakan berani yang mencerminkan kecintaan terhadap organisasi dan integriti diri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkongsi prinsip yang menjadi pegangannya sepanjang menjalankan amanah sebagai pemimpin, iaitu melakukan perkara yang betul walaupun tiada sesiapa yang melihat.

“Pada akhirnya, integriti adalah tentang siapa kita sebenarnya apabila kita berseorangan, apabila tiada mata yang memandang dan tiada telinga yang mendengar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atas kerjasama dan perkongsian ilmu yang diberikan dalam usaha memperkukuh budaya integriti di POIC Sabah.

Madius berharap Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah itu menjadi titik permulaan kepada komitmen yang lebih kukuh dalam kalangan warga POIC Sabah untuk menjadikan integriti sebagai sebahagian daripada identiti organisasi, sekali gus memastikan syarikat terus berkembang sebagai entiti yang bersih, telus dan bebas daripada rasuah.